Monday, July 21

Kasih Antara Kita


Tajuk : Kasih Antara Kita
Penulis : Norisah A. Bakar
Penerbit : Creative Enterprise Sdn Bhd
Harga : RM26.90
Halaman : 584 Mukasurat
Genre : Romantik Drama.

* * * * 1/2
------------------------------------------------------------------------------
“Tapi kalau saya nak cari calon isteri saya tak boleh pandang pada paras rupa saja…”
“Jadi apa yang awak cari Zakuan?Apa yang awak harapkan daripada seorang perempuan yang ingin awak jadikan isteri?”
“ Tak banyak Syikin.Cukup jika dia dapat menyenangkan mata dan hati saya terhadapnya…”


Apa Kata Saya

Richard Bach pernah melahirkan kata-kata ini “ if you love someone, set them free, if they come back they’re yours; if they don’t they never were.” Inilah initipati yang dapat menggambarkan watak Nur Asyikin/Syikin, si peneraju utama kisah ini. Saya cukup menggagumi Syikin, sekaligus menggagumi cara penulis membina watak dan perwatakan Syikin yang cukup istimewa…walau secara hakikatnya dia cuma seorang gadis yang sederhana serba-serbinya, namun keistimewaannya berjaya diserlahkan penulis hingga dirinya mengundang perebutan 3 jejaka; Zulkarnain, Nizam, Ahmad Zakuan…hebatnya Syikin.

Ini kisah tentang perempuan dan konflik kehidupan yang digarap dengan sisipan unsur estetika dan artistiknya. Kisah yang berpaksikan dengan tema dan falsafah cinta. Dari sudut pandangan, mungkin akan wujud perbezaan dengan apa yang saya tulis dengan pandangan anda di luar sana, apa-apapun bagi saya ia tidak lebih dari bagaimana sesebuah kerangka cerita itu ditulis dan bagaimana setelah proses suntingan, ia dipersembahkan kepada kita. Akan wujud pelbagai cetusan rasa, itu normal kerana naratif sesebuah kisah akan mengundang elemen-elemen reaksi pembaca yang pelbagai dan penilaian yang subjektif rupa bentuknya.

Struktur plotnya digarap dengan elemen emosi nan cantik serta dramatik dari awal hingga lah ke penghujung cerita. Itulah momentumnya. Kita juga akan turut terkesan dengan perjalanan kisah watak-wataknya juga konflik yang tercetus di sepanjang tempoh penceritaan ini. Keberkesanan ini bertitik tolak dari kecemerlang penulis membangunkan watak-watak dengan penuh emosi dan mereka digerakkan pula dengan penuh rasa emosi seorang manusia.

Kisah ini banyak mengadunkan adegan-adegan kehidupan manusia yang dicipta secara konvensional. Ia bersesuaian dengan latar cerita yang mengadaptasi kehidupan masyarakat kelas sederhana yang berlokasikan Negara Singapura. Walau latarnya bukan di sini, saya turut terkesan dengan penaan penulis yang cukup menghalusi permasalahan golongan ini. Dari soal rumah yang sempit dan terpaksa hidup berhimpit, hidup berhutang dari keperluan harian hingga ke majlis kahwin. Namun yang tidak kurang mengujakan saya adalah persoalan perkahwinan sivil antara 2 individu berlainan anutan agama yang disentuh penulis. Walau ia bukan fokus utama penceritaan, isu ini penting untuk renungan pembaca.

Bagaimanakah rupa, sifat, warna, bau, bentuk mahupun dalam cara apa cinta itu berfungsi?Hingga kini ia masih misteri. Cinta itu adakalanya indah dan menyakitkan pada waktu yang sama. Ia juga mungkin membuatkan seseorang menunggu bertahun lamanya tanpa sebab dan hanya berbekalkan harapan. Cinta boleh menyembuhkan jiwa mereka yang perit menanggung kesedihan, kekecewaan dan kepedihan.

Bagi anda yang gemarkan genre sebegini maka jangan lepaskan peluang memiliki naskhah terbaru penulis dari Pulau Temasik ini. Kasih Antara Kita nukilan terbaru Norisah ini sangat sarat dengan emosi nan melankolik intinya namun saya amat menggemari kisah ini…amat-amat menggemarinya.Sungguh!!!.

Buat penulis, sekalung tahniah dari saya…seperti juga dua naskhah terdahulu anda yang telah saya baca, anda telah meletakkan wanita di suatu kedudukan yang cukup istimewa sekali. Semoga terus cemerlang berkarya di masa hadapan.


Kisahnya…

Nur Asyikin/Syikin, gadis sederhana yang punya ibu yang agak memandang kebendaan sebagai kunci utama kebahagian hidup, justeru itu kakaknya Nur Amira dan adiknya Nur Suraya ditatang kerna berjaya mendapatkan teman hidup yang memenuhi syarat ibu mereka. Berbeza dengan ayahnya yang tidak memandang faktor itu sebagai pencetus bahagia, ia sering menjadi punca perbalahan ibu bapa Syikin hingga akhirnya menjadi anatara sebab kematian ayahnya.

Syikin nan sederhana menaruh harapan pada teman sepejabat, Zulkarnain yang lebih sedikit kedudukannya namun bila Zulkarnain cuba mengelakkan diri setelah dapat menghidu rasa tersebut, Syikin merasa cukup terpukul dan malu yang bukan kepalang. Lebih parah bila terdengar desas-desus hubungan Zulkarnain dengan Hartinah, staff baru yang lebih menawan, Syikin merasakan itulah sebab utama dirinya dijauhi. Malu dan sedih saling bertingkah dalam diri.Bila Zulkarnain berangkat untuk menyambung pelajaran ke luar negara dan langsung tidak menghubunginya, Syikin mengandaikan itulah isyarat yang diberi bahawa dia bukan calon yang layak buat sang jejaka.Tanpa disedari, Nizam rakan sepejabat juga teman akrab Zulkarnain yang kecewa dengan perbuatannya terhadap Syikin cuba mendekati Syikin. Dia yang menyintai Syikin dalam diam cuba mengambil tempat Zulkarnain di hati Syikin, tapi tidak diterima Syikin yang masih terasa dengan perbuatan Zulkarnain. Ketika hati sedang parah, kemunculan Ahmad Zakuan bagaikan cahaya buat Syikin.

Ahmad Zakuan, jiran Syikin yang pernah menaruh hati pada adik Syikin , Nur Suraya/Yaya yang terkenal cantik dan lincah. Ahmad Zakuan/Zakuan yang sering bertukar-tukar kerja dulunya sekarang bekerja sebagai pekerja pembersihan di pejabat Syikin. Gambaran perwatakan Zakuan yang agak pendiam, misteri, adakala cukup sinis dan menjengkelkan cukup memikat sekali…pembaca akan turut berdebar untuk mengetahui siapa sebenarnya Zakuan.

Walau status pekerjaan Zakuan begitu, Syikin tidak membataskan hubungan antara mereka, dia tetap menghormati Zakuan dan kerap keluar makan bersama Zakuan dan pekerjanya Umar malah turut menumpang van pekerja yang dipandu Zakuan untuk pulang.Hakikat nya Syikin tidak memandang rendah pekerjaan Zakuan namun dia tetap tidak mahu ibunya mengetahui persahabatan tersebut lantaran sikap ibunya. Dia tidak mahu Zakuan dicemuh dan dihina lantaran kedua-dua adik dan kakaknya berjaya berkahwin dengan pemuda yang berkerjaya bagus dan berharta.Namun bila perkahwinan kedua-duanya gagal, ditambah dengan sikap tidak bertanggungjawab kedua-dua menantu kebanggaannya itu, sikap ibunya mula berubah. Zakuan mula dipandang dan punya tempat dihati ibu Syikin.

Di kejauhan, Zulkarnain mula menyedari perasaannya terhadap Syikin, kecewa dengan sikap kurang matang dirinya, Zulkarnain bertekad untuk memohon maaf dan menyambung kasih mereka bila pulang bercuti. Kepulangan yang mengejutkan Syikin namun tidak sesekali mengubah pendirian hatinya yang sudah remuk diperlakukan Zulkarnain. Nizam yang serba salah cuba memberi peluang Zulkarnain memikat Syikin semula, tapi sayang, hati Syikin tika ini sudah sarat dengan nama jejaka lain….Ahmad Zakuan. Lamaran Zulkarnain ditolak Syikin lantaran perasaannya sudah tiada terhadap jejaka tersebut. Begitu juga lamaran Nizam yang hanya dianggap kawan, juga ditolak…walau sedih dia dipulaukan Nizam lantaran penolakan itu, Syikin reda kerana dia tidak dapat membohongi diri dan hatinya bahawa hanya seorang sahaja yang diingini menghuni hatinya…Zakuan.

Syikin mengetahui Nizam cemburukan Zakuan malah tidak dapat menerima hakikat ditewaskan oleh seorang pekerja pembersihan, namun bagi Syikin, Zakuan lah seorang lelaki yang boleh disandarkan harapan dan rasa. Tika dia memerlukan, Zakuan ada disisi menghulurkan tangan. Malahan Syikin mengetahui dia tidak bertepuk sebelah tangan, kiasan Zakuan cukup mengundang senyum dan silu di hati Syikin. Layanan dan keprihatian Zakuan cukup membuatkan kasihnya tertumpah pada jejaka tersebut.

Bila latar dan kedudukan Zakuan terbongkar, Syikin cukup terpukul, rasa sedih yang tidak sedikit bila dia ditipu hanya kerna Zakuan ingin menguji keikhlasan cinta dan kasihnya. Zakuan yang rasa bersalah cuba memujuk lantaran lamaran buat sang kekasih hati dibiar sepi akibat kesilapan diri. Pengakuan Zakuan nan tulus buat sang kekasih pujaan mencairkan kekerasan hati Syikin. Bila rasa dan cinta bersatu, rahsia bukan lagi satu rahsia.

Selamat menghayati kisah yang cukup beremosi dan indah ini.

No comments: