Tuesday, February 24

Salju Sakinah


Tajuk Buku : Salju Sakinah
Penulis : Zaid Akhtar
Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd
Harga: RM26.00
Cetakan Ketiga : 2008
Genre: Islamik
Bintang: 5

-------------------------------------------------------------
“ ..seorang muslimah…
..seorang mukminah…
..seorang mujahidah…
..seorang muslihah…
..seorang Sumayyah…”

Apa Kata Saya

Setiap penulis punyai pendekatan tersendiri di dalam menyampaikan wacana pemikiran masing-masing. Suntikan wacana yang diharapkan menjadi bekalan serta memperkayakan jiwa pembaca menerusi pengisian dalam kisah yang dibentangkan mereka. Tidak kiralah samada karya mereka tergolong dalam lingkungan pop atau tidak. Dan sebagai pembaca lihatlah isi dan mesej penulis dalam karya mereka. Jangan sesekali menilai hanya pada kulit.

Salju Sakinah sebuah naskhah yang cukup tepu dengan pengisian dakwah yang disampaikan dengan cukup berhemah, penuh nilai-nilai hikmah , disertai suntikan elemen-elemen komersial yang menjadikan ia cukup menarik untuk dibaca. Novel ini adalah sebenarnya novel bersiri yang pernah disiarkan di segmen agama, akhbar Utusan Melayu pada setiap isnin hingga rabu pada tahun 2005. Karya yang bertemakan agama ini punyai mesej tentang nilai-nilai murni dalam kehidupan yang cukup baik untuk dihayati dan diteladani pembaca .Ia mengutarakan pergolakan di dalam kehidupan manusia dengan pelbagai kisah suka duka yang mendewasakan manusia dengan pengalaman tersebut. Satu rentetan kisah kehidupan manusia yang penuh warna-warni yang diakhiri dengan warna kedamaian.

Tidak dinafikan kisah cinta adalah penarik didalam sesebuah naskhah dan Salju Sakinah tidak terlepas dari mengutarakan kisah ini, namun penulis mempersembahkannya dengan cantik sekali. Beliau memancarkan kepada pembaca batas -batas cinta dan keindahannya dari sudut islam. Salju Sakinah membawa pembaca menyorot perjalanan hidup Sumayyah Zainul Abidin; seorang siswi dari Senggarang , Johor yang berada di semester akhir pengajiannya di Universiti Yarmouk, Jordan. Beliau yang cukup dikenali dengan keperibadian terpuji juga ketokohan dan sifat kepimpinanan dikalangan teman-teman rapat juga pelajar-pelajar senegara di rantau sana. Kepulangannya ke tanahair memikul cabaran yang cukup getir didalam mentarbiahkan masyarakat setempat dengan ilmu yang diperolehi.Tidak ketinggalan kesulitan yang dihadapi didalam menangani konflik sosial manusia yang tidak dapat lari dari permasalahan hasad-dengki, finah, cemburu dan juga yang paling hebat bila ahli keluarganya sendiri terjebak dengan kepercayaan khurafat dan ajaran sesat. Dan kemuncak dari segala cabaran tersebut bila dia gagal dalam salah satu kertas semester akhir yang memaksa dia pulang semula ke Jordan untuk menyudahkan pengajian. Kepulangan yang cukup dirasakan peristiwa paling memalukan dalam diari kehidupannya.

Jalan cerita novel ini digarap penulis dengan cukup menarik sekali dengan penerapan mesej kehidupan yang sarat dengan pengajaran dan penuh keinsafan, penggunaan gaya bahasanya dan lafaz dialog begitu santai ditelinga. Penggunaan dua tempat berbeza yakni Jordan dan Malaysia sebagai latar cerita dengan mengetengahkan suasana kehidupan pelajar Malaysia di Jordan.Berbekalkan pengalaman menjadi pelajar di sana, penulis ternyata cukup teliti mencorakkan perjalanan kehidupan di sana. Kita sebagai pembaca secara tidak langsung boleh merasakan seolah-olah berada di sana.

Sumayyah sebagai watak utama di dalam Salju Sakinah cukup berjaya diikonkan penulis sebagai contoh mahasiswa melayu islam yang bijaksana, cekal, berani, tabah, cukup muslimah, punyai keperibadian indah, usahawan muda yang berwawasan juga isteri mithali yang menjadi idaman para adam. Watak-watak lain turut memperteguhkan Salju Sakinah dengan kekuatan perwatakan masing-masing. Hakimah, Fatihah, Izzati, Hakim, Naufal; rakan-rakan pelajar Sumayyah diperincikan penulis dengan cukup perencahnya. Tidak ketinggalan ahli keluarganya Safiah, Salbiah, Umi, Muazam yang cukup mewarnai kisah indah ini.

Naskhah ini sesungguhnya sesuai untuk semua lapisan masyarakat hatta dari tangga sosial manapun. Membaca dan menghayatinya menwujudkan rasa tenang, damai dan begitu membuai rasa...sesuai dengan judulnya yang membawa maksud salju yang mendamaikan.

Buat Zaid Akhtar, walau agak terlewat membaca naskhah hebat anda ini, diharap tidak terlambat untuk lafaz tahniah ini untuk anda. Karya anda ini cukup hebat dan amat mendamaikan sekali.Pembaca pasti mendambakan sentuhan ajaib anda pada naskhah akan datang, insyaaallah.


No comments: