Thursday, July 29

Kucc Reviews: NaMa AtaS KerTas...


" engkau boleh bersembunyi di mana saja...tapi aku akan tetap menjumpaimu!"

Apa Kata Saya:

Sudah agak lama juga karya berpaksikan genre Thriller tidak saya baca. Terakhir adalah Labyrinth dan Gapura. Nama Atas Kertas (NAK) karya pertama penulis ini yang saya baca memberikan satu keterujaan rasa yang sukar dilafazkan. Satu karya yang saya kira sungguh uummph! Usai menamatkan pembacaan ke atas karya ini yang telah memaksa minda saya sama berfikir dan berlari untuk mengejar si licik nan bijak yakni sang pembunuh yang menjadi buruan pegawai penyiasat polis; Faiz dan pasukannya demi menamatkan sebuah siri kegilaaan yang sungguh sadis!

Perasaan dendam yang dipendam jika tidak dikelolakan dan ditangani dengan penuh berhemah bisa membuatkan manusia yang bijak hilang pertimbangan akal nan waras. Perasaan tertekan kesan dari rasa itu akan membentuk sebuah identiti diri yang mengundang bahaya bukan sahaja pada diri sendiri tapi juga pada insan lain disekitarnya. Inilah persoalan utama yang saya kira diangkat didalam karya hebat
ini dan digarap dengan begitu bijaksana oleh penulis untuk diterjemahkan kepada
pembaca untuk sama-sama berfikir kesan dan akibat dari persoalan berkenaan. Mesej penulis saya kira jelas, setiap kejadian biar baik atau buruk pasti ada hikmahnya. Setiap perbuatan pasti ada balasannya.

Perwatakan adalah nadi dalam setiap naratif. Tidak dapat dinafikan. NAK mengengahkan seorang pegawai polis, Faiz selaku hero yang menerajui naratif thriller hebat ini. Watak Faiz ditangani dengan sangat baik dan penulis saya kira begitu menjiwai emosi diri seorang pegawai polis yang tertekan dengan beban tugasan menjejak penjenayah bijak nan berbahaya dan pada waktu yang sama perlu mengendalikan gelodak dalaman jiwanya yang kehilangan isteri yang dibunuh demi dendam penjenayah pada dirinya. Kredibiliti Faiz selaku pegawai polis diterjemahkan ke kanvas oleh penulis dengan begitu berkesan sekali. Pembaca jadi begitu mengagumi pegawai polis muda nan berwibawa ini. Perwatakan Hanim saya kira stabil ditangan penulis. Biar tidak begitu menonjol berbanding Faiz, sisi watak Hanim dibangunkan secara sederhana lengkap dengan mainan perasaan wanita muda yang terjerat rasa kasih namun tidak pasti mahu meluahkannya. Komposisi watak Hanim di dalam menjalankan tugas kepolisian adalah pelengkap pada Faiz. Gambaran ini diterjemahkan dengan sangat baik sekali oleh penulis. Keakraban dalam tugas antara keduanya adalah buktinya. Aswadi Hamzah si wartawan agresif lagi sensasi dari Warta Harian adalah watak pembantu yang memberi warna dan rentak pada persembahan naratif ini. Begitu juga watak Prof. Zaman; si pakar psikologi dan Tuan Kamal. Masing-masing memberi sumbangan yang mengangkat
naskhah ini menjadi cukup rencahnya. Perwatakan si gadis misteri Natasya Haliza begitu mengujakan, begitu mendebarkan dan dirinya dipersembahkan penulis dengan begitu bijaksana sekali!

Gaya bahasa naratif ini mengaplikasikan lenggok bahasa pertuturan biasa. Tiada penggunaan elemen estetika nan mempesona dan mengasyikkan tapi karya ini tetap mempunyai kelasnya yang tersendiri dengan pengenalan penuh berinformasi penulis terhadap dunia sains forensik, psikologi juga tidak ketinggalan informasi berkenaan ilmu grafologi. Ternyata perkongsian informasi dan maklumat ini secara tidak langsung menambahkan pengetahuan pembaca berkenaan bidang tersebut. Plot disusun begitu teliti dengan latar masa, tempat dan waktu pada tiap bab. Menerusi suntingan yang cemerlang, urutan tiap peristiwa dijalin dengan cukup baik menerusi perletakan elemen berkenaan lalu berjaya membina sebuah landasan bacaan yang cukup mendebarkan pembaca!

NAK memperkenalkan pembaca dengan kejadian pembunuhan sadis bersiri yang dilakukan seorang penjenayah yang begitu licik namun cukup bijak! Pembunuh tersebut akan mengirimkan notis obituari setiap mangsanya kepada seorang wartawan sensasi dari Warta Harian; Aswadi Hamzah dengan tujuan untuk disiarkan. Didalam mulut mayat setiap mangsanya, akan ditinggalkan kertas/puzzle mengandungi sebuah teka-teki untuk diselesaikan oleh pihak polis dan pada teka-teki itulah terkandung maklumat kesalahan yang dilakukan mangsa-mangsa berkenaan. Faiz dan rakannya Hanim yang mengetuai siasatan menghadapi jalan sukar dan buntu untuk menjejak pembunuh kejam berkenaan dan juga menyelesaikan teka-teki yang ditinggalkan hinggalah seorang prof.matematik; doktor Sufiyan berjaya menyelesaikannya dan membawa Faiz dan pasukannya pada pembongkaran jenayah yang dilakukan mangsa-mangsa. Biarpun pada mula enggan percaya, namun siasatan terperinci pada setiap mangsa membuktikan kebenaran dakwaan pembunuh obituari tersebut. Menggunakan kaedah psikologi menerusi bantuan prof Zaman, penyiaran notis obituari yang dihantar pembunuh dihentikan penyiarannya dengan harapan agar rasa keterujaan pembunuh disekat namun malang, tindakan tersebut
menimbulkan kemarahannya pada pihak polis lalu tanpa diduga, Hanim dipilih menjadi mangsa seterusnya!

Buat penulis, sukar digambarkan kekaguman saya tatkala menyelusuri Thirller nukilan anda ini dan seusai membacanya ingin saya pahatkan ucapan tahniah atas persembahan yang cukup cemerlang ini. Pena anda ternyata begitu berjaya membuatkan degup jantung saya berlari kencang. Pena anda berjaya memahat dan memaku pandangan mata saya untuk terus setia pada kanvas kertas putih kaku ini hingga ke laman akhirnya. Buat pembaca yang tercari-cari sebuah karya yang akan membuatkan minda anda diuji dan dicabar hebat maka Nama Atas Kertas adalah pilihannya.

No comments: